PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket
Blog ini mengandungi Info Kucing, Tentang Kehidupan Kucingku, Resepiku Sendiri yang simple, Info-info Semasa dan Tutorial serta Sedikit Coretan Diriku

Menjaga Kucing Yang Sudah Tua

Apabila kucing meningkat usianya, beberapa bahagian dalam tubuh akan mula merosot dan mungkin akan menyukarkan kucing kita untuk mengekalkan aktiviti hariannya. Jika kita mempunyai kucing yang sudah tua, kita hendaklah menjadikan aktiviti harian sahabat lama kita semudah yang mungkin.

Adalah menjadi kebiasaan jika penglihatan dan pendengaran kucing merosot seiring dengan usianya, walaupun amat jarang sekali kucing menjadi buta sepenuhnya disebabkan oleh usia. Jika penglihatannya merosot, kebanyakan binatang masih boleh melihat dengan baik pada waktu siang berbanding malam.

Kucing tua akan lebih selesa jika mangkuk makanan dan kotak najisnya diletakkan dalam ruang kawasan yang sama di mana mudah untuk dicari. Tapi ini tidaklah bermakna kita perlu meletakkannya sebelah menyebelah pula.

Dalam kebanyakan situasi, adalah lebih baik jika kita memelihara kucing sebagai indoor, dan ia adalah satu keutamaan jika kucing kita sudah tua, apatah lagi jika pendengarannya sudah merosot atau pekak.

Berbeza dengan penglihatan, kucing boleh menjadi pekak sepenuhnya disebabkan oleh penuaan. Kita tidak boleh membiarkannya berada di luar rumah bersendirian atau tanpa pemantauan kerana kucing tidak lagi mendengar bunyi yang menjadikannya waspada, seperti bunyi kereta yang menghampirinya.

Keperluan Air Minuman 



Disebabkan penyakit buah pinggang sering terjadi pada kucing tua, mengekalkan sumber air yang baik adalah sangat mustahak untuk menjaga keselesaannya.

Anda boleh mempelajari bagaimana untuk memberikan suntikan bendalir (air) di bawah kulitnya di klinik-klinik haiwan. Ini dapat mengekalkan dan membantu meningkatkan tahap hidrasi kucing anda. Suntikan ini hanya diberikan di bawah kulitnya sahaja dan bukannya menerusi salur darah, jadi ianya tidaklah begitu sukar.

Lagipun adalah sangat susah untuk memaksa kucing untuk minum walaupun semasa ia masih berupaya, apatah lagi jika kucing kita sedang lemah dan kehilangan air dengan banyak. Mempelajari bagaimana memberikan suntikan ini akan memanfaatkan anda di masa akan datang.

Beritahu sahaja kepada doktor anda mahu belajar buat subcutaneous fluid injections, atau bahasa mudahnya suntik air. Klinik yang baik akan berbincang prosedurnya dengan anda. Pemilik kucing yang baik juga sudah tentu tidak kisah jika dikenakan sedikit bayaran jika diminta, asalkan berpatutan



Makanan Kucing Berumur 


Kucing tua tidak lagi membina otot dan kurang aktif berbanding waktu mudanya, maka mereka memerlukan makanan yang kurang protein dan kurang kalori. Lagipun dengan peningkatan usia akan mengurangkan kemampuan sistem penghadamannya.

Kebanyakan syarikat makanan akan meletakkan diet itu dengan label Senioratau Geriatric dan keduanya dirumus untuk memenuhi keperluan kucing tuda. Tapi perlu diingat, tidak bermakna anda perlu automatik tukar makanannya hanya disebabkan ia meningkat tua, apatah lagi jika kucing yang tua tetapi masih aktif dan sihat.



Cara yang terbaik adalah berbincanglah dahulu dengan doktor anda sebelum menukarkan diet.


Penyakit gigi dan gusi sering berlaku pada kucing tua dan mempengaruhi berapa banyak ia akan makan. Kesihatan gigi boleh diperiksa pada setiap kali lawatan klinik dan dietnya juga boleh diubah bergantung kepada keadaannya. Makanan yang lebih lembut yang hanya memerlukan sedikit kunyahan (atau tak perlu kunyah langsung) akan membantu kucing tua.


Jika kucing tiada selera makan, kita boleh berikan makanan yang padat dengan nutrisi, diberikan dalam kuantiti kecil. Adalah penting untuk kucing tua ini makan atau sekurang-kurangnya mengekalkan berat badannya.


Arthritis 


Kesakitan ini tidak dapat dielak kerana setiap sendi pasti akan mengalami kehausan apabila umur semakin meningkat. Penyakit ini akan menyebabkan kesakitan dan mengekang pergerakan kucing. Jika kucing tidak dapat bergerak dengan baik, dia mungkin tidak dapat melakukan keperluan hariannya dengan normal seperti membuang najis atau membersihkan diri.


Kucing arthritis yang menghabiskan masanya di luar rumah akan berada dalam bahaya kerana tidak boleh melompat dan berlari seperti biasa, terutamanya ketika keadaan bahaya. Sendi yang sakit juga menyebabkan kucing susah untuk melompat turun, walaupun ia kelihatan tidak setinggi mana.


Lokasi dan rekabentuk kotak najis mungkin perlu ditukar untuk kucing arthritis. Kita perlu memastikan kucing boleh keluar dan masuk dengan mudah dari kotak najisnya. Pertimbangkan kotak najis yang tidak berbumbung dan berdinding rendah jika kucing anda susah menggunakan kotak yang sedia ada.


Begitu juga dengan lokasi mangkuk makanan dan airnya. Jika kucing tidak boleh menggerakkan kepala dan lehernya dengan baik, kita perlu menaikkan kedudukan mangkuk itu dengan mengalasnya dengan buku, kayu atau apa sahaja. Ini dapat menambahkan keselesaan kucing kita untuk makan dan minum.


Ruang rehat


Kucing tua akan kehilangan lemak pada badan dan otot sebagai penebat haba. Mereka tidak lagi mampu menahan kesejukan dan boleh menyebabkan kesakitan apabila bahagian tulang bergeser pada permukaan keras seperti lantai (tubuh saya sendiri pun dah mula rasa macam tu! hehe).

Pastikan kucing anda mempunyai alas yang lembut dan tebal seperti tuala untuk membantu keselesaannya. Kurangkan penggunaan penghawa dingin pada ruang tempat tidurnya.



Parasit dan serangga pengacau


Tahukah anda bahawa serangga suka mengambil kesempatan pada binatang lemah? Contoh mudah adalah lalat, atau nyamuk lebih gemar menyerang dan mengganggu binatang yang lemah. Kucing tua tidak dapat bergerak ke tempat lain atau menggaru dengan mudah jika terdapat gangguan seperti ini.


Serangga biasanya mahu mendapatkan makanan semudah yang mungkin dan jika binatang itu tidak menghalaunya, lebih mudah bagi mereka untuk terus menginap dan makan di situ.


Sentiasa periksa kucing berkenaan kehadiran kutu dan hapuskannya. Tapi pastikan produk itu sesuai untuk kucing yang sudah tua. Jika kucing itu dibiarkan keluar, periksa tempat dia tidur atau rehat dan pastikan semut tidak mengganggunya.

Pastikan juga lalat tidak mengganggunya, kerana lalat akan melepaskan telurnya pada binatang yang tidak bergerak dan telur itu akan menetaskan ulat dalam tempoh 12 jam sahaja. Sudah tentu kita tidak mahu membersihkan telinga, ketiak atau punggung kucing dari ulat-ulat itu kan?

Kesimpulan dari kiriman ini adalah, penjagaan kucing tua akan lebih mudah dan manfaat yang besar bagi anda dan kucing anda jika ianya dipelihara sebagai indoor. Kebanyakan dari kita memelihara kucing sebagai outdoorsahaja, tidak mengapalah tetapi apabila tiba umurnya, kucing itu perlu dipelihara sebagai indoor juga.

Ini juga adalah faktor yang perlu difikirkan jika anda bercita-cita mahu memelihara kucing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pasti My Cats Cyg Kamu!!

Secebis Rumusan

Blog ini diwujudkan kerana Oyen..iaitu kucing kesayanganku..kemudian Lolie muncul dalam hidup Oyen untuk menjadi ratu dan peneman Oyen. Lolie kucing kesayanganku yang kedua, Lolie juga sumber inspirasi blog ini dan juga logo serta banner blog ini. Namun kedua-dua mereka umur tidak panjang, Oyen pergi meninggalkan kami dahulu kemudian diikuti Lolie dan anak-anaknya pergi meninggalkanku. Mereka pergi terlalu cepat..mungkin Allah dah tentukan segalanya. Walaupun pada mulanya aku tidak dapat menerima kehilangan Oyen namun lama-kelamaan aku redha ketentuan-Nya. Oyen dan Lolie sentiasa dalam kenanganku. Nak baca lanjut tentang kedua mereka sila klik "Kucingku".

Komen Pelawat

Comment Box

Copyright© All Rights Reserved princesskittyku.blogspot.com